Hatiku
bercampur baur antara kegembiraan, kesedihan dan kehibaan. Terlalu sukar untuk
kugambarkan perasaan hatiku tatkala ini. Sanak saudara duduk mengelilingiku
sambil memerhatikan gerak geri seorang lelaki yang berhadapan dengan bapaku
serta tuan imam. Hari ini adalah hari yang cukup bermakna bagi diriku. Aku akan
diijab kabulkan dengan seorang lelaki yang tidak pernah kukenali; pilihan
keluarga. Aku pasrah. Semoga dengan pilihan keluarga ini beserta dengan rahmat
Tuhan. Bakal suamiku itu kelihatan tenang mengadap bapaku, bakal bapa
mentuanya. Mereka berkata sesuatu yang aku tidak dapat mendengar butir
bicaranya. Kemudian beberapa orang mengangguk-angguk. Serentak dengan itu, para
hadirin mengangkat tangan mengaminkan doa yang dibacakan lelaki itu.
“Ana dah jadi isteri! ” Bisik sepupuku sewaktu aku menadah tangan. Tidak
semena-mena beberapa titis air mata gugur keribaanku. Terselit juga hiba
walaupun aku amat gembira. Hiba oleh kerana aku sudah menjadi tanggungjawab
suamiku. Keluarga sudah melepaskan tanggungjawab mereka kepada suamiku tatkala
ijab kabul. “Ya Allah! Bahagiakanlah hidup kami. Kurniakanlah kami
zuriat-zuriat yang menjadi cahaya mata dan penyeri hidup kami nanti.” Doaku
perlahan. Aku bertafakur sejenak. Memikirkan statusku sekarang. Aku sudah
bergelar isteri. Sudah tentu banyak tanggungjawab yang perlu aku tunaikan pada
suamiku dan pada keluarga yang aku dan suamiku bina nanti. “Mampukah aku
memikul tanggungjawab ini nanti?” Tiba-tiba sahaja soalan itu berdetik di hati.
Kadang-kadang aku rasakan seolah-olah aku tidak dapat melaksanakan
tanggungjawab seorang isteri terhadap suami.
“Assalamualaikum!” Sapa suatu suara yang mematikan tafakur tadi. Baru aku
perasan, seorang lelaki berdiri betul-betul di hadapanku. Aku masih tidak mampu
untuk mendongak, melihat wajahnya itu. Aku berteleku melihat kakinya. Sanak
saudara yang tadi bersama-samaku, kini membukakan ruang buat lelaki itu
mendekatiku. Aku tambah gementar bila dibiarkan sendirian begini. Tanpa
kusangka, dia duduk menghadapku.
“Sayang”..Serunya perlahan. Suaranya itu seolah membelai dan memujuk jiwaku
supaya melihat wajahnya. Aku memaksa diriku untuk mengangkat muka, melihat
wajahnya. Perlahan-lahan dia mencapai tangan kiriku, lalu disarungkan sebentuk
cincin emas bertatahkan zamrud ke jari manisku.
“Abang”.. Seruku perlahan sambil bersalam dan mencium tangan lelaki itu yang
telah sah menjadi suamiku. “Ana serahkan diri Ana dan seluruh kehidupan Ana ke
pangkuan abang. Ana harap, abang akan terima Ana seadanya ini seikhlas hati
abang..”Bisikku perlahan. ” Kita akan sama-sama melayari hidup ini dan akan
kita bina keluarga yang bahagia.” Janjinya padaku. Itulah kali pertama aku
menemui suamiku itu. Aku tidak pernah melihatnya selain daripada sekeping foto
yang telah diberikan emak kepadaku.
Kenduri
perkahwinan kami diadakan secara sederhana sahaja. Namun meriah dengan
kehadiran sanak saudara terdekat dan sahabat handai yang rapat. Senang sikit,
tak payah berpenat lelah. Sibuk juga aku dan suamiku melayani para tetamu yang hadir
ke majlis itu. Ramai juga teman-teman suamiku yang datang. Mereka mengucapkan
tahniah buat kami berdua. Tak sangka, suamiku punyai ramai kawan. Katanya,
kawan-kawan sejak dari universiti lagi. Pada pandanganku, suamiku itu memang
seorang yang segak. Berbaju melayu putih sepasang serta bersampin. Aku juga
memakai baju pengantin putih. Kami dah berpakat begitu. Aku selalu berdoa pada
Tuhan agar Dia kurniakan padaku seorang suami yang dapat membimbing dan
menunjukkan aku jalan ketuhanan. Mengasihi aku sebagai seorang isteri. Tidak
kuminta harta mahupun pangkat, cukuplah sekadar aku bahagia bersamanya dan dia
juga bahagia denganku. Aku juga sering berdoa agar dikurniakan zuriat yang
dapat membahagiakan kami.
***********************
“Ana, ada perkara penting yang mak dan ayah nak bincangkan dengan Ana”. Ayah
memulakan mukadimah bicaranya di suatu petang sewaktu kami minum petang di
halaman rumah. Mak hanya diam memerhatikan aku, membiarkan ayah yang memulakan
bicaranya.
“Apa dia ayah, mak? Macam penting je” Soalku tanpa menaruh sebarang syak
wasangka. “Sebenarnya, kami telah menerima satu pinangan bagi pihak Ana.”
“Apa!!!”Pengkhabaran begitu membuatkan aku benar-benar terkejut. Aku masih
belum berfikir untuk mendirikan rumah tangga dalam usia begini. Aku mahu mengejar
cita-citaku terlebih dahulu. Aku tidak mahu terikat dengan sebarang
tanggungjawab sebagai seorang isteri. “Kenapa ayah dan mak tak bincang dengan
Ana dulu?” Soalku agak kecewa dengan keputusan mak dan ayah yang membelakangi
aku. Sepatutnya mereka berbincang denganku terlebih dulu sebelum membuat
sebarang keputusan yang bakal mencorakkan masa depanku.
“Kami tahu apa jawapan yang akan Ana berikan sekiranya kami membincangkan
perkara ini dengan Ana. Pastinya Ana akan mengatakan bahawa Ana masih belum
bersedia. Sampai bilakah Ana akan berterusan begitu?” Ayah mengemukakan
alasannya bertindak demikian. “Sebagai orang tua, kami amat berharap agar anak
kesayangan kami akan mendapat seorang suami yang boleh melindungi dan
membimbing Ana. “Ujar mak setelah sekian lama membisu. “Apakah Ana fikir mak
dan ayah akan duduk senang melihat anak gadisnya berterusan hidup sendirian
tanpa penjagaan dari seorang suami? Kami bukan nak lepaskan tanggungjawab kami
sebagai orang tua, tapi itulah tanggungjawab orang tua mencarikan seorang suami
yang baik untuk anak gadisnya.” Terang ayah lagi.
“Ana..” Seru ayah setelah dia melihat aku mendiamkan diri, menahan rasa.
“Percayalah, kami membuat keputusan ini adalah untuk kebaikan Ana sebab kami
terlalu sayangkan Ana.”; “Ini cincinnya, pakailah.” Mak meletakkan satu kotak
kecil berbaldu di hadapanku. Perasaanku berbaur. Macam-macam yang datang.
Berbelah bagi. Apa yang patut aku lakukan sekarang. Sekiranya aku menerima dan
bersetuju dengan keputusan mak dan ayah itu, bermakna aku telah membiarkan
cita-citaku semakin kabur dan berbalam di hadapan. Namun kiranya aku menolak,
bermakna aku telah melukakan hati kedua-dua orang tuaku itu. Orang tua yang
telah banyak berjasa dalam hidupku. Tanpa mereka berdua, aku takkan hadir dan
mustahil untuk melihat dunia ini. “Ahhhhgggg…”Keluhku sendirian. Aku dalam
dilemma. Yang manakah patut aku utamakan? Perasaan sendiri atau perasaan dan
harapan mak dan ayah. Aku selalu tewas bila melibatkan perasaan mak dan ayah.
Aku terlalu takut untuk melukakan hati mereka. Aku takut hidupku nanti tidak
diberkati Tuhan.
Azan maghrib yang berkumandang mengejutkan aku dari lamunan. Dah masuk waktu
maghrib rupanya. Masih banyak lagi barang-barang yang belum dikemaskan. Penat
juga nak kemaskan semua ni. “Nanti kite kemas lepas ni. Mari solat maghrib
dulu.” Ujar ayah padaku. Adik-adik sibuk bentangkan tikar dan sejadah di ruang
solat. Begitulah selalunya apabila kami berkumpul. Solat berjemaah adalah saru
agenda yang tidak boleh dilupakan. Semua orang telah siap sedia menunggu
sewaktu aku keluar dari berwudhuk di bilik air. Aku cepat-cepat mengenakan
telekung dan memasuki saf bersama emak, kakak dan adik. Selesai je iqamah, ayah
memberikan penghormatan kepada suamiku untuk menjadi imam. Dia kelihatan serba
salah dengan permintaan ayah itu. Dia merenung ke arahku. Aku hanya mengangguk
sebagai isyarat supaya dia memenuhi permintaan ayah itu. Maka dengan tenang,
dia mengangkat takbir. Menjadi imam solat maghrib kami pada malam itu. Betapa
hatiku tenang sekali menjadi makmumnya. Dengan bacaan yang jelas dan merdu itu
membuatkan aku berasa kagum dengan suamiku itu. Mungkin tepat pilihan ayah dan
mak buatku. Bacaannya lancar lagi fasih. Bagaikan seorang arab yang menjadi
imam.
“Wahai
Tuhan kami! Janganlah Engkau mengirakan kami salah jika kami terlupa atau
tersilap. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau bebankan kami dengan bebanan yang
berat sebagaimana yang telah Engkau bebankan kepada orang-orang yang terdahulu
daripada kami. Wahai Tuhan kami! Jangan Engkau pikulkan kepada kami apa-apa
yang tidak terdaya kami memikulnya. Dan maafkanlah kesalahan kami serta
ampunkanlah dosa kami dan berilah rahmat kepada kami.” “Wahai Tuhan kami!
Kurniakanlah kami daripada isteri dan suami serta zuriat keturunan yang boleh
menjadi cahaya mata buat kami dan jadikanlah kami daripada golongan orang-orang
yang muttaqin.” Dia membaca doa dengan khusyuk memohon kepada Tuhan setelah
selesai solat. Kami bersalaman.
Aku
mendekati suamiku sambil menghulurkan tangan. “Bang, maafkan Ana!” Bisikku
perlahan sewaktu mencium tangannya. Dia kemudiannya mengucupi dahiku sebagai
tanda kasih yang tulus. “Sayang tak ada apa-apa salah dengan abang.” Ujarnya
sambil tersenyum merenung wajahku. Selepas berwirid dan berzikir, dia bangun
menuju ke halaman rumah. “Abang nak ke mana tu?” Soalku. “Nak kemaskan
barang-barang kat bawah tu. Ada sikit lagi.” Jawabnya. “Dah la tu. Rehat jelah.
Esok kita boleh sambung lagi.”Aku kesian melihatnya, keletihan. “Betul kata Ana
tu Zul. Sambung esok sajalah.” Sampuk ayah yang tiba-tiba mendengar perbualan
kami. Emak pun mengangguk menyetujui sarananku itu. “Takpelah ayah, Ana. Sikit
aje tu. Kejap je saya buatnya.” Dia masih berkeras sambil berlalu turun ke
halaman rumah untuk mengemas beberapa peralatan yang masih lagi berada di bawah
khemah. Aku menukar pakaian, kemudian keluar membantu suamiku mengemas
barang-barang di halaman rumah. Dia kelihatan asyik tanpa menyedari
kehadiranku. Semua barang-barang telah dikemasnya. Aku mencapai kain pengelap
dan mula mengelap meja.
“Bila Ana turun?” Soalnya apabila menyedari aku sedang mengelap meja. ” Baru
aje. Asyik sangat abang buat kerja sampai tak sedar Ana datang.” “Maafkan abang
sayang.” Dia menghampiriku. “Sayang tak marahkan?” Soalnya lagi sambil memeluk
pinggangku erat. Aku merenungnya, kemudian mengeleng-ngeleng sebagai tanda aku
tak ambil hati pun pasal tu. Dia tersenyum sambil menghadiahkan satu ciuman di
pipiku. “Ish..abang ni! Nanti dilihat orang, malu kita.” Rungkutku
tersipu-sipu. Nanti malu juga kalau dilihat oleh ahli keluargaku. “Apa nak
malu, kan sayang ni isteri abang.” Jawabnya tersenyum. “Tau la, tapi tengok la
keadaan dan tempat. Kalau kita berdua saja, lebih dari cium pun Ana bagi.”
“Betul ni?”Soal suamiku cepat-cepat. “Ish..Gatal la abang ni!” Dia cuba
mengelak dari menjadi mangsa cubitan tanganku. Aku terasa bahagia disayangi
begini. Inilah pertama kali dalam hidupku merasai betapa nikmatnya cinta dan
kasih sayang seorang kekasih hati yang aku sayangi.
Aku tidak pernah terlibat dengan cinta walaupun semasa aku di universiti dulu. Dan
pada tika ini, aku akan menikmatinya selepas perkahwinan. Cinta seorang suami
terhadap seorang isteri. Walaupun begitu,masih ada sedikit rasa takut di
hatiku. Aku takut aku tidak mampu untuk menunaikan tanggungjawab sebagai
seorang isteri. Aku takut aku tidak mampu untuk menjadi seorang isteri yang
solehah dan mulia dalam hidup suamiku. “Apa yang Ana menungkan ni?” Soalan itu
mengejutkan aku dari lamunan. Aku berehat sekejap di atas kerusi batu dalam
taman di halaman rumah setelah selesai mengemas barang-barang. “Abang ni,
terkejut Ana tau!” Aku buat-buat merajuk. Saja nak menduga bagaimana suamiku
memujuk. “Alaa..sayang ni..macam tu pun nak marah.” Usiknya sambil mencubit
pipiku. “Nampak gayanya terpaksalah abang tidur bawah katil dengan
nyamuk-nyamuk malam ni sebab isteri abang dah merajuk. Kesian kat abang yea!”
Aku mula tersenyum dengan kata-kata suamiku itu. Pandai juga suamiku buat lawak
nak memujuk aku.
“Sayang…” Seru suamiku sambil merangkul tubuhku. “Sayang nak honeymoon kemana?”
Tak terfikir pulak akau pasal honeymoon tu. Aku pun tak ada apa-apa plan atau
cadangan pasal tu. “Ana ikut aje ke mana abang nak bawa.” “Kalau abang bawa ke
bulan atau bintang, sayang nak ikut ke?” Guraunya. “Banyak ke duit abang nak
bayar tambang roket dan nak beli set bajunya nanti?” Soalanku itu membuatkan
suamiku pecah ketawa. “Nanti sayang nak berapa orang anak?” Soalnya lagi
setelah ketawanya reda. “Abang nak berapa?” Soalku kembali tanpa menjawab
soalannya. “Abang nak sebanyak mungkin. Larat ke sayang nanti?” “Ish…abang ni.
Abang ingat Ana ni kilang anak ke?” Sekali lagi suamiku ketawa. Nampaknya dia
adalah orang yang mudah ketawa. “Takdelah macam tu. Tapi abang suka kalau kita
ada anak yang ramai. Sama banyak lelaki dan perempuan.” “Insya Allah, kalau ada
rezeki nanti Ana sanggup.” Penjelesanku itu membuatkan suamiku tersenyum
gembira. “Ni yang buat abang tambah sayang ni.” Satu lagi kucupan mesra singgah
di pipiku. Aku terasa bahagia diperlakukan begitu. Aku punyai suami yang baik
dan penyayang. Aku rasa dilindungi.
“Zul, Ana! Jom kita makan dulu!” Suara mak memanggil. “Mari bang! Ana pun dah
lapar ni.” Ajakku sambil memimpin tangannya. Kami bangun beriringan masuk ke
dalam rumah untuk menghadapi hidangan makan malam. Rasa lapar la juga kerana
sejak tadi lagi asyik layan tetamu dan buat kerja aje sampai lupa untuk makan.
Seronok sangat dengan kahadiran kawan-kawan rapat serta gembira dianugerahi
seorang suami yang baik. Sudah beberapa hari aku asyik memikirkan pasal
pertunanganku. Terlalu sukar untuk aku menerimanya. Tambah lagi dengan lelaki
yang tidak pernah kukenali. Perkahwinan bukanlah sesuatu yang boleh diambil
mudah. Kehidupan yang memerlukan persefahaman sepanjang hidup. Tanpa
persefahaman dan tolak ansur, mustahil dua jiwa dan dua hati boleh bersatu
dalam menjalani hidup sebagai suami isteri. Tidak sedikit cerita yang aku
dengar tentang rumah tangga yang hanya mampu betahan buat seketika atau separuh
jalan sahaja. Kemudian pecah berkecai umpama kapal dipukul badai. Berselerak
dan bertaburan. Apatah lagi kalau dah dikurniakan anak. Anak-anak akan jadi
mangsa keadaan. “Mampukah aku menerima suamiku nanti sepenuh hatiku? Mampukah
aku menyediakan seluruh ruang isi hatiku ini buat suamiku itu? Bahagiakah aku
bila bersamanya nanti?” Bertalu-talu persoalan demi persoalan menerjah benak
fikiranku. Aku rasa amat tertekan dengan keadaan ini. Bukan aku tak fakir pasal
rumah tangga, tapi aku masih belum bersedia untuk melaluinya.
“Ya Allah, bantulah aku dalam membuat keputusan. Tunjukkanlah aku jalan
penyelesaian. Janganlah Engkau biarkan aku sendirian dalam menentukan masa
depan hidupku.” “Ya Allah, aku benar-benar tersepit antara kehendak orang tuaku
dan persaan hatiku sendiri. Kiranya ia baik buatku, maka berilah aku redha
dalam menerimanya wahai Tuhan. Indahnya kuperhatikan suasana kamarku. Aku
sendiri yang menghiasinya. Kamar malam pertamaku bersama seorang lelaki yang
bergelar suami. Kamar yang akan menjadi saksi bisu bila mana aku menyerahkan
khidmatku pada seorang suami. Kegusaran dan sedikit gentar mula bertandang dalam
sanubari. Aku rasa takut sendirian untuk melalui keindahan malam pertama ini.
Bagaimanakah akan melayani suamiku nanti? Ketukan pada pintu bilik membuatkan
hatiku bertambah gusar. Dari tadi lagi aku hanya duduk di birai katil.
“Masuklah, pintu tak berkunci.” Aku bersuara perlahan. Aku pasti, itu adalah
suamiku. Dia masuk, kemudian menutup pintu bilik kami dengan perlahan. Dia
kemudiannya menghampiri dan duduk di sisiku. ” Kenapa asyik termenung aje ni?
Sayang tak gembirakah bersama abang?” Aku tak menyangka soalan itu yang
diajukan oleh suamiku tatkala ketakutan di malam pertama begitu membanjiri
jiwaku. Aku hanya mampu mengeleng-ngeleng. Aku sendiri tak tahu apa jawapan
yang terlebih baik untuk soalan suamiku itu. “Habis tu apa yang sayang menungkan
ni?” Ana takut bang!” Itulah aku rasa jawapan yang tepat bagi menjawab
soalannya. Dia memelukku erat sambil membelai rambutku. ” Apa yang nak
ditakutkan? Abangkan ada. Abang akan bantu dan tolong sayang. Kita sama-sama
bina keluarga kita.” Pujuk suamiku.
” Ana takut Ana tak mampu untuk menjalankan tugas sebagai isteri abang. Ana
banyak kelemahan bang. Ana takut nanti Ana akan mengecewakan abang. Ana
takut..” Aku tidak sempat untuk meneruskan kata-kataku kerana suamiku telah
meletakkan telunjuknya di bibirku tanda tidak membenarkan aku menghabiskan
bicaraku. Terkebil-kebil mataku memandangnya.
” Sayang, abang terima sayang sebagai isteri abang seadanya. Abang terima
segala kelebihan dan kekurangan yang ada pada sayang. Usahlah sayang risaukan
pasal itu. Ok sayang! ” Bisiknya. Aku memeluknya syahdu di atas penerimaannya
terhadapku. ” Sayang, abang nak mandi kejap. Badan ni dah rasa macam melekit.”
Aku bangun membuka almari pakaian dan mencapai sehelai tuala serta kain
pelikat. Kuhulurkan kepadanya dengan penuh kasih sayang. Dia tersenyum kepadaku
dan mencium pipiku sebelum berlalu ke bilik air. Kemudian aku terdengar siraman
air terjun ke lantai. Malam berarak perlahan. Langit kelihatan gelap pekat
tanpa bulan dan bintang. Mungkin sekejap lagi hujan akan mencurah, membasahi
bumi yang sudah beberapa hari merindui titis air untuk membajai ketandusannya.
“Ayah, mak! Ana dah buat keputusan.” Beritahuku sewaktu kami sedang berehat di
beranda rumah pada suatu hari. Ayah yang sedang membaca akhbar dan emak yang
sedang menyulam tiba-tiba memandangku serentak, kemudian berpaling sesama
sendiri. ” Keputusan tentang apa?” Soal ayah inginkan kepastian. Mungkin mereka
tertanya-tanya keputusan apakah yang telah kubuat. ” Pasal peminangan tu.”
Ujarku. Ayah dan emak kembali merenungku. Mereka memberikan perhatian kepada
apa yang bakal aku beritahu. Keputusan yang telah kubuat setelah berfikir baik
dan buruknya. Keputusan yang bakal menentukan masa depan arah perjalanan
hidupku. ” Kiranya ini takdir Tuhan, maka Ana redha dengan jodoh yang ayah dan
emak pilih.” Terasa pilu sekali hatiku sewaktu meluahkannya. Ada sedikit titis
jernih jatuh ke riba. Aku mengesatnya dengan hujung jari. Emak bangun dan
memelukku. Aku tidak tahu apakah ertinya pelukan emak itu. Pelukan gembira oleh
kerana aku menerima pilihan mereka atau pelukan untuk menenangkan jiwaku yang
sedang berkecamuk dan sedih ini? Hanya emak yang tahu hakikatnya.
”
Syukurlah, moga Ana bahagia nanti.” Ucap ayah padaku. Aku terpaksa berkorban
demi untuk melihat senyuman di bibir ayah dan emak walaupun hatiku sendiri
terpaksa menangis. Tapi adalah terlebih baik bagiku memakan hatiku sendiri
daripada memakan hati orang tua ku. “Nanti mak kenalkan dia pada Ana.” Ujar
emak sambil tersenyum kerana keputusanku memihak kepada mereka. ” Tak payahlah
mak. Kenalkan pada Ana di hari perkahwinan tu aje.” Aku rasa lebih baik
demikian kerana selepas ijab Kabul aku sudah tidak punyai pilihan lain selain
daripada menerima walaupun dengan terpaksa lelaki pilihan ayah dan emak ku itu
sebagai suamiku. Aku tidak mahu pertemuan sebelum ijab kabul nanti akan
menyebabkan aku berbelah bagi dengan keputusan yang telah aku buat. ” Kenapa
pula macam tu? Kan lebih baik kalau Ana berkenalan dahulu dengannya.” Ayah
mempersoalkan keputusanku itu. ” Ana telah memenuhi kehendak ayah dan mak
dengan menerima pilihan ayah dan mak. Tak bolehkah ayah dan mak memenuhi
permintaan dan kehendak Ana pula?” Aku berlalu meninggalkan mereka dalam
keadaan tercengang dengan permintaan ku itu.
Aku siapkan kamar tidur seadanya. Aku letakkan pakaian persalinan buat suamiku
di atas katil. Aku menunggunya keluar dari bilik air. Aku sendiri telah
bersiap-siap menukar pakaian malam menanti suamiku itu dengan penuh debaran.
Kedengaran pintu bilik air dibuka. Dia keluar sambil tersenyum ke arahku. ”
Sayang, boleh tak ambilkan abang segelas air. Dahagalah.” Pintanya sambil
mengelap-ngelap badannya dengan tuala di tangan. ” Baik bang. Bang, ni baju
abang.” Ujarku sambil bangun untuk ke dapur. Sewaktu aku keluar, lampu di ruang
tamu semuanya telah dipadamkan. Kulihat jam dah dekat pukul 1 pagi. ”
Patutlah.” Bisik hatiku. Aku meneruskan langkahku ke dapur dalam smar-samar
cahaya bilik yang masih lagi terpasang. Kupenuhkan labu sayung dengan air masak
dan ku capai sebiji gelas. Aku membawa kedua-duanya menuju ke bilik. Suasana
malam agak sunyi. Tiada bunyi cengkerik atau cacing tanah. Cuma kat luar sana
kadang-kadang langit kelihatan cerah diterangi cahaya kilat memancar. Malam
yang pekat bakal mencurahkan hujan. Sewaktu aku melangkah masuk ke bilik,
kelihatan suamiku sedang khusyuk berdoa atas sejadah. Mulutnya terkumat kamit
tanpa kutahu butir bicaranya. Kutuangkan air kedalam gelas dan kuletakkan atas
meja menanti suamiku selesai berdoa. Kemudian dia bangun menghampiriku. Aku
menghulurkan gelas air kepadanya.
“Bang….”Seruku. “Ada apa sayang?” Soalnya apabila melihat aku tersipu-sipu
kearahnya. “Malam ni abang nak…..nak…..”Agak segan untuk kuteruskan pertanyaan
itu. Suamiku masih lagi menanti persoalan yang kutanya… ” Nak apa sayang?”
Soalnya lagi sambil tersenyum. “Ah..abang ni…”Aku malu sendirian apabila
melihat suamiku seolah-olah dapat membaca fikiranku. “Ya, abang nak sayang
layan abang malam ni. Boleh tak?” Bisiknya ketelingaku. Aku hanya mampu
mengangguk-angguk tanda bersedia untuk melayani segala kehendak dan
kemahuannya. Aku cuba untuk mempersiapkan diri sebagai seorang isteri yang
mampu menyediakan dan memenuhi segala keperluan dan kemahuan suamiku itu.
“Assalamualaikum, wahai pintu rahmat!” Bisik suamiku. ” Waalaikumussalam wahai
tuan pemilik yang mulia.” Jawabku. Malam yang gelap kehitaman itu kulaluinya
bertemankan seorang lelaki yang telah kuserahkan kepadanya seluruh jiwa dan
ragaku ke dalam tangannya. Dia berhak segala-galanya keatasku. Sebagai seorang
isteri, aku mesti sentiasa patuh kepada segala arahan dan suruhannya selagi
mana ia tidak bercanggah dengan ketetapan Tuhan dan Rasul. Pertama kali kulalui
dalam hidupku, malam bersama seorang lelaki yang telah dihalalkan aku
keatasnya. Aku umpama ladang dan suamiku itu adalah peladang. Ia berhak
mendatangiku mengikut sekehendak hatinya. Aku telah membaca beberapa buah buku
tentang alam perkahwinan, rumahtangga dan tanggungjawab seorang isteri apabila
aku menerima pilihan emak dan abah terhadapku. Aku cuba untuk mempraktikkannya
selagi aku termampu untuk melakukannya. Aku cuba menjadi yang terbaik bagi
suamiku. Aku ingin suamiku bahagia bersamaku. Aku ingin menjadi permaisuri yang
bertahta di hati dan jiwanya sepanjang usia hayatnya.
Rasulullah bersabda: “Sebaik-baik isteri itu ialah yang dapat menenangkan kamu
apabila kamu melihatnya dan taat kepada kamu apabila kamu perintah dan
memelihara dirinya dan menjaga hartamu apabila kamu tiada.” Rasulullah
bersabda: “Setiap wanita itu adalah pengurus sebuah rumahtangga suaminya dan
akan ditanyakan hal urusan itu.” Rasulullah bersabda: “Isteri yang mulia ini
merupakan sesuatu yang terbaik di antara segala yang bermanfaat di dunia.”
Rasulullah bersabda: “Sesungguhnya wanita yang baik itu adalah wanita yang
beranak, besar cintanya, pemegang rahsia, berjiwa kesatria terhadap
keluarganya, patuh terhadap suaminya, pesolek bagi suaminya, menjaga diri
terhadap lelaki lain, taat kepada ucapan suaminya dan perintahnya, dan apabila
bersendirian dengan suaminya, dia pasrahkan dirinya kepada kehendak suaminya
itu.”
Sesungguhnya perkahwinan ataupun rumahtangga itu bukanlah sesuatu yang boleh
dipandang remeh atau yang boleh dipermain-mainkan. Ia adalah suatu ikatan yang
menghalalkan yang haram sebelumnya. Ia memerlukan persefahaman, tolak ansur,
saling mempercayai, tolong-menolong, kasih mengasihi seikhlas hati dan
sebagainya. Tanpa itu semua, mana bisa dua jiwa yang berlainan sifat dan sikap
mampu mengharungi sebuah kehidupan yang penuh dengan dugaan ini bersama-sama.
Ia amat mustahil sekali.
Maka seharusnya kita perlu mempersiapkan diri sebelum memasuki gerbang
perkahwinan dengan pelbagai ilmu. Ilmu kekeluargaan, ilmu keibu bapaan,
psikologi kanak-kanak dan sebagainya. Jangan cuba untuk menghampirinya selagi
mana kita belum benar-benar bersedia untuk menghadapinya. Jangan kita fikirkan
tentang nafsu semata-mata. Fikirkan sama tentang tanggungjawab yang bakal kita
pikul nanti. Tanggungjawab sebagai seorang suami ataupun isteri, tanggungjawab
sebagai seorang bapa ataupun ibu. Mampukah kita semua memenuhi atau menunaikan
tanggungjawab dan tuntutan itu. Kita pastinya akan dipersoalkan tentang
pertanggungjawaban itu. Sama ada di dunia mahaupun di hadapan Tuhan nanti.
Kerana tanggungjawab itu adalah amanah yang perlu ditunaikan oleh setiap orang.
Bunyi batuk yang berlarutan menyebabkan aku tersedar dari tidur istimewaku
malam ini. Sewaktu aku membuka mata, aku lihat suamiku sedang bersimpuh diatas
sejadah.
Dia mengurut-urut dadanya menahan batuk. Aku bingkas bangun, turun dari katil
dan menghampirinya. “Abang tak apa-apa?” Soalku risau dengan keadaannya. Aku
mula risau, takut-takut suamiku itu mempunyai penyakit-penyakit tertentu yang
tidak aku ketahui. “Abang ok je. Mungkin sejuk sikit kot.”Jelasnya. Mungkin
juga. Hawa dinihari itu sejuk sebab hujan masih lagi bergerimis selepas
mencurah lebat semalam. “Pergilah mandi, ayah dan semua orang sedang menunggu
kita untuk berjemaah di luar tu.” Arah suamiku sambil tersenyum merenungku
dengan pijama itu. Aku malu sendirian bila mata suamiku menyorot memerhati
seluruh tubuhku itu. “Nakallah abang ni.” Aku bangun mencapai tuala dan terus
ke bilik air untuk mandi. Aku masih lagi terdengar batuk-batuk dari luar. Ayah
mahu suamiku mengimami solat subuh itu, tapi suamiku menolak dengan alasan dia
batuk-batuk dan tak berapa sihat. Namun ayah masih berkeras, maka terpaksalah
dia menjadi imam. Kesian aku melihatnya. Bacaannya tidak selancar semalam.
Banyak tersangkut dan terpaksa berhenti atau mengulanginya kerana asyik
batuk-batuk sahaja. Aku mula risau lagi dengan keadaan begitu. Selepas
beriwirid pendek, dia membacakan doa dengan perlahan tapi masih boleh didengari
oleh semua ahli keluargaku.
Aku lihat muka suamiku agak kepucatan. “Kenapa ni bang?” Soalku sewaktu
bersalaman dengannya. ” Entahlah, abang rasa kurang sihat sikit pagi ni..” “Zul
sakit ke?” Tanya ayah. “Takdelah, cuma kurang sihat sikit. Mungkin sebab cuaca
kot.”Jawabnya. “Elok makan ubat, nanti takut melarat pulak.” Sampuk mak. “Nanti
Ana ambilkan ubat.” Aku bangun ke dapur untuk mengambil ubat dalam rak ubat.
Ubat-ubatan asas sentiasa tersimpan dalm rak ubat di rumahku. Ini bagi
memudahkan bagi tujuan rawatan segera kalau ada apa-apa berlaku. Aku ambil
sebotol ubat batuk dan segelas air. Suamiku sudah masuk ke bilik. Batuknya agak
berkurangan sedikit dari tadi. Mungkin betul juga ia ada kaitan dengan keadaan
cuaca yang sejuk. Dia menghirup sirap batuk yang kusuapkan. “Terima kasih.”
Ucapnya perlahan. Aku angguk. “Abang berehatlah.” Ujarku sambil membaringkan
badannya ke atas tilam.
“Abang minta maaf kerana menyusahkan sayang.” ” Kenapa pula abang cakap macam
tu. Sikit pun Ana tak rasa susah.” “Abang tahu sayang susah hati tengok abang
begini. Sepatutnya hari pertama begini, abang kena membahagiakan sayang. Tapi
abang minta maaf sebab keadaan abang tak mengizinkan.” “Dahla tu bang. Ana
isteri abang. Ana sentiasa bersedia berkhidmat untuk abang tanpa sedikit pun
rasa susah.”Pujukku walaupun sebenarnya hatiku memang runsing dengan
keadaannya. “Walau apapun yang berlaku, abang tetap sayang dan cintakan sayang.
Sayanglah satu-satunya buah hati abang.” Sambung suamiku tanpa menghiraukan
nasihatku supaya dia berehat saja. Entah kenapa tiba-tiba sahaja hatiku dilanda
kesedihan. Entah darimana ia berputik. “Abang minta maaf atas segalanya. Sayang
maafkan abang yea” “Abang nak tidur dulu. Mengantuk rasanya.” Ujarnya perlahan.
“Abang tidurlah.” Aku menarik selimut untuk menyelimutinya. Aku menciumi
dahinya. Sekejap sahaja dia terlena selepas mulutnya terkumat kamit membacakan
sesuatu. Aku memerhatikan suamiku buat seketika. Tidurnya kelihatan tenang
dengan susunan nafas yang teratur. Aku suka melihat wajahnya yang memberikan
ketenangan buatku. Wajahnya yang agak bersih dihiasi dengan kumis dan jambang
yang nipis dan terjaga.
Aku
berdoa dan berharap agar kurniaan Tuhan ini akan berkekalan bersamaku hingga ke
akhir hayat. Namun segala-galanya telah ditentukan Tuhan. Hidup, mati, rezeki,
baik dan buruk seseorang hamba itu telah ditentukan Tuhan semenjak ia berada
dalam kandungan ibunya lagi. Maka aku sebagai seorang hamba yang lemah terpaksa
menerima segala kehendaknya dengan redha dan tenang. Siapa tahu, rupa-rupanya
itulah hari pertama dan terakhir aku bersama suamiku yang baru aku kenali itu.
Aku hanya mengenalinya seketika sahaja, namun dia telah meninggalkan aku buat
selama-lamanya. Aku belum sempat untuk menjalankan tugasan sebagai isteri
dengan sepenuhnya. Apalagi yang dapat aku lakukan. Patutlah dia asyik memohon
maaf dariku. Sewaktu aku ingin mengejutkannya untuk bersarapan, berkali-kali
aku cuba memanggil namanya. Namun dia masih tak menjawab. Aku menggoncang
tubuhnya, tetapi tetap tak ada respon. Aku sentuh tangannya, sejuk. Aku
memeriksa nadi dan denyutan jantungnya. Senyap! Air mataku terus je mengalir
tanpa dapat ditahan lagi. Menangisi kepergian seorang suami. Aku tersedu-sedu
sewaktu semua ahli keluarga masuk kebilik untuk melihat apa yang berlaku
setelah terlalu lama aku cuba mengejutkan suamiku itu. Tapi rupanya hanyalah
jasad yang terbujur kaku.
” Sudahlah Ana, bersyukurlah kerana masih ada lagi pusaka tinggalannya buat Ana.”
Pujuk emak. Aku hanya mampu tersenyum dengan pujukan emak itu sambil memandang
wajah seorang bayi lelaki yang sedang nyenyak tidur disebelahku. Itulah takdir
Tuhan, malam pertama yang telah membuahkan hasil. Walaupun hanya pertama, tapi
itulah panglima yang menang dalam pertarungan bagi menduduki rahimku ini. Hari
ini, zuriat suamiku itu telah menjenguk dunia ini. Satu-satunya pusaka yang
tidak ada nilai buatku selain sebuah rumah yang telah diwasiatkan oleh suamiku
buatku. Ya Allah, tempatkanlah rohnya bersama golongan yang soleh. Ya Allah,
rahmatilah anakku ini. Jadikanlah dia umpama bapanya yang sentiasa taat
kepadamu. Jadikanlah ia berjasa kepada perjuangan dalam menegakkan agamamu.
Jadikanlah ia sebagai permata yang membahagiakan aku dan seluruh keluargaku.